Rahsia Ibadah Puasa

View previous topic View next topic Go down

Rahsia Ibadah Puasa

Post by Razak on Sat Aug 30, 2008 3:53 pm

/Dipetik dari Minda Madani: Rujuk: http://www.mindamadani.my/content/view/147/2

Menyelami Rahsia Puasa Sebagai Kewenangan Ilahi Rumusan Penelitian Wibawa Silam*
Oleh Mohd.Zaidi b.Ismail

“Allah ‘azza wa Jalla berfirman; ‘Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.’ Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seseorang itu sedang berpuasa janganlah ia berkata keji dan berteriak. Jika ada yang mencaci atau melaknatinya, maka hendaklah dia berkata kepadanya ‘Aku sedang berpuasa.’ Demi Dia yang diri Muhammad berada dalam kuasaNya, bau mulut seorang yang sedang berpuasa adaah lebih harum di sisi Allah daripada aroma minyak kesturi. Bagi seseorang yang sedang berpuasa itu dua keriangan yang ia bergembira dengannya: ketika dia berbuka puasa, ia akan bergembira dan ketika dia bertemu Tuhannya, dia akan bergembira dengan puasanya”. (Disepakati oleh Bukhari dan Muslim).(1)

Sememangnya tabiat manusia mudah lupa dan sering lalai. Sebab itu usaha saling ingat-memperingatkan sesama insan sentiasa relevan dan tidak boleh diabaikan, malah sudah menjadi sebahagian daripada tuntutan-tuntutan agama. Semangat ini terjelma, misalnya, dalam kebiasaan kaum Muslimin memperingatkan diri masing-masing tentang kelebihan dan keutamaan sesuatu amalan atau peristiwa menerusi himbauan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi s.a.w., disusuli pula dengan huraian dan syarahan ulama-ulama yang berwibawa. Peringatan sebegini, selain melibatkan usaha mengulangkaji hal-hal yang bersangkutan dengan rupa-bentuk zahir sesuatu amalan itu, turut merangkum penerokaan rahsia-rahsia batinnya juga. Rahsia batin ini antara lain, berkait dengan apa sahaja hikmah dan pengajaran yang boleh dimanfaatkan daripada amalan tersebut.

Usaha menimba hikmah dan pengajaran ini yang sering disebut dalam Bahasa Arab sebagai i’tibăr (dirumikan sebagai iktibar), memang tidak akan berlaku tanpa ingatan akan amalan atau peristiwa tersebut. Kelangsungan ingatan ini pula tidak akan terjadi tanpa usaha kerap mengulangi, senang menyebut tanpa rasa jemu dan bosan, baik pada lisan atau dalam fikiran. Tindakan seperti inilah yang dalam Bahasa Arab dinamakan dhikr (dirumikan sebagai zikir). Semakin kerap ia dipupuk dalam hafalan dan kenangan, semakin lama ia hidup mengakar dan merimbun dalam diri kita dan bertambah terpeliharalah jiwa ini dari gugatan kehampaan makna dan kehilangan jati diri.

Seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Ulum al-Din dan al-Qistas al-Mustaqimnya, sememangnya i’tibăr itu lazim muncul setelah dhikr. I’tibăr adalah kata terbitan daripada ‘ubur' yang bermaksud ‘menyeberang atau melintas dari satu tebing ke tebing yang lain.’ Dalam konteks ilmu dan fikiran, i’tibar membawa makna ‘menyeberang daripada satu pengetahuan yang sedia dimiliki kepada suatu ilmu yang baru.’ Oleh kerana itu, secara umumnya dalam Bahasa Arab, i’tibar juga seerti dengan fikr dan ta ‘aqqul (dirumikan sebagai fikir dan taakul), yang bermakna ‘tindakan akal menyeberang daripada andaian-andaian kepada kesimpulan-kesimpulan.’ Lumrahnya, gerak-daya (proses) akliah sebegini berlaku setelah seseorang itu memiliki sesuatu pengetahuan dan tidak melupainya. Hal mengingati ini, sebagaimana disebutkan di atas, dikenali sebagai dhikr atau tadhakkur.(2)

Dalam soal puasa, i’tibăr juga tidak akan diperolehi tanpa didahului dengan ketekunan mengingati hal-hal penting yang berkaitan dengan ibadah tersebut. Antara sekian banyak peringatan yang dipetik berhubung dengan puasa adalah ‘pendahuluan’ Hadis Qudsi yang dinukilkan di atas tadi: ‘Setiap amalan (baik) anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.’ (Kull ‘amal ibn Adam lahu illa al-siyam fa innahu li wa Ana ajzi bihi). Memandangkan semua amal ibadat itu sememangnya dipersembahkan semata-mata kepada Allah dan sesungguhnya hanya Dia satu-satunya yang akan membalas semua amal kebaikan tersebut, pasti ada yang tergerak untuk bertanyakan punca dan hikmah mengapa puasa pula yang diperuntukkan kemuliaan dan layanan yang sangat istimewa ini.

Persoalan ini sebenarnya turut menjadi topik kajian dan perbahasan pelbagai tokoh ilmuwan Islam yang silam, seperti Imam al-Ghazali dalam Ihyă’ ‘Ulüm al-Dinnya, diperkayakan kemudiannya dengan kupasan panjang lebar oleh Imâm Murtadă al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin; tidak terkecuali juga kedua-dua tokoh pensyarah kepada Sahih al-Bukhări, Imăm ibn Hajar al-’Asqalani dalam Fath al-Bari dan ‘Allămah Shihab al-Din al-Qastalani dalam Irshăd al-Sari, selain Imăm al-Nawawi dalam syarahnya kepada Sahih Muslim; juga Mullă ‘Ali al-Qari dalam Min Mirqăt al-Mafatih Sharh Mishkat al-Masăbih, dan ‘Allämah Muhammad b. ‘Allan al-Makki al-Shafi’i, pengarang Dalil al-Fălihin li Turuq Riyad al-Salihin. Hasil daripada usaha-usaha tersebut, beberapa penjelasan yang berharga telah diberikan. Tiga daripada yang paling disepakati adalah:

(1) Puasa sebagai ujian keikhlasan;
(2) Puasa sebagai upaya mendekati Allah; dan
(3) Puasa sebagai pelemah kepada syaitan.

Kesemua penjelasan tersebut bertolak dari makna asal puasa (al-sawm) sebagai ‘penahanan dan kawalan diri’(al-kaff atau al-imsak.(3)

Bersambung..

Razak

Posts : 13
Join date : 2008-08-29

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum