Ramadan didik ketakwaan

View previous topic View next topic Go down

Ramadan didik ketakwaan

Post by Razak on Fri Aug 29, 2008 4:08 pm

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
(WARTAWAN UTUSAN)

AHLAN wasahlan ya Ramadan. Selamat datang bulan Ramadan. Bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka.

Insya-Allah, Isnin depan umat Islam di Malaysia akan berpeluang sekali lagi menjalani ibadat puasa, salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Puasa pada sudut bahasa bermakna menahan diri. Pada syarak, puasa adalah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga masuk matahari.

Ramadan pula bermaksud membakar dan panas. Dengan kata lain, Ramadan membakar dan menghapuskan dosa orang yang berpuasa.

Bersyukurlah jika kita bahagia menyambut kedatangan Ramadan walaupun terpaksa menahan diri daripada makan dan minum di siang hari selama sebulan. Sekurang-kurangnya kita terdorong dalam orang yang beriman.

Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman telah difardukan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu semoga kamu bertakwa." (al-Baqarah: 183).

Ada dua kata kunci yang penting dalam ayat ini iaitu orang beriman dan takwa. Dengan kata lain, puasa itu ditujukan kepada orang yang beriman supaya beroleh takwa.

Apabila menyebut orang beriman, ia tidak meliputi semua orang Islam atau Muslim. Sebabnya tidak semua orang Muslim itu mukmin (beriman).

Menurut Saidina Ali Abi Thalib, empat ciri orang yang bertakwa itu adalah takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, rasa cukup dengan yang sedikit dan bersiap sedia untuk dipanggil menemui Allah.

Bagaimanapun, takwa itu bukan datang sendiri dan tidak boleh dijual beli. Waima sebanyak mana pun harta seseorang itu, dia tidak akan mendapat takwa semata-mata kerana kekayaannya. Sebabnya, takwa itu memerlukan kita berusaha untuk mencapainya.

Ia memerlukan istiqamah dan latih tubi yang bukan sedikit. Untungnya, Ramadan menyediakan kita peluang berbuat demikian. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan. (riwayat Bukhari).

Antara lain maksud syaitan dirantai adalah mereka menjadi lemah dalam bulan puasa. Melalui berpuasa manusia dapat mengurangkan nafsu makan dan minum. Melaluinya kita dapat meninggikan unsur rohani yang boleh mendampingkan diri dengan Allah.

Oleh yang demikian, para ibu bapa seharusnya mengambil peluang Ramadan untuk mendidik anak masing-masing melaksanakan ibadat puasa. Maklumlah bukan mudah untuk kanak-kanak menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang selepas 11 bulan bebas berbuat demikian. Ia memerlukan bukan setakat dorongan ibu bapa tetapi lebih utama lagi adalah kepimpinan melalui teladan.

Maksudnya, ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam berpuasa. Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: Setiap anak yang lahir itu ibarat kain putih, ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Mengikut keadaan semasa, anak-anak pada usia 6 tahun kini sudah boleh diasuh agar berpuasa. Ini supaya mereka membiasakan diri dengan ibadat tersebut.

Memanglah puasa bagi kanak-kanak itu tidak wajib tetapi ingatlah kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'. Latih mereka berpuasa secara berperingkat iaitu sehingga pukul 12 tengah hari, kemudian sehingga pukul 3 petang dan akhirnya genap sehari.

SembahyangPada masa yang sama, jangan pula ibu bapa alpa menyuruh anak-anak menunaikan solat. Solat adalah keutamaan kerana ia tiang agama. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW: Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan sembahyang sesungguhnya dia telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya dia meninggalkan agamanya. (riwayat al-Baihaqi).

Apabila kita solat maka kecenderungan melakukan maksiat termasuk bercakap bohong dapat dihindari. Maka, tidak timbul anak-anak curi-curi minum di dalam bilik air atau makan secara sembunyi. Secara tidak langsung, ia mendorong kepada usaha mencari takwa.

Ibu bapa juga perlu menanamkan kepada anak-anak supaya mengharapkan reda dan ganjaran Allah untuk puasa mereka. Bukan bermatlamat mendapat upah atau sebarang habuan.

Ramadan juga adalah 'sekolah' yang mendidik jiwa agar lebih bertakwa. Oleh itu sifat-sifat mazmumah (keji) hendaklah dihindari dan sifat-sifat mahmudah (terpuji) hendaklah menjadi amalan.

Antara akhlak orang yang berpuasa ialah menjaga lidah dan mulut. Mereka juga perlu memelihara diri daripada perkara yang boleh merosakkan pahala puasa. Ini agar puasa itu tidak sia-sia dan hanya mendapat lapar serta dahaga.

Ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang berpuasa tidak memelihara tutur kata (maki hamun atau bercakap tidak sopan) atau melakukan perkara yang merosakkan pahala puasa, maka Allah tidak menerima lapar dan dahaganya. (riwayat Bukhari)

Puasa juga dapat menghidupkan kekuatan fikiran sebagaimana wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya. Katanya: "Wahai anakku, apabila engkau terlalu kenyang fikiranmu akan tidur, anggotamu malas bekerja atau beribadat kepada Allah yang menjadikan kamu, dari itu akan hilang keheningan hatimu, kehalusan pengertian untuk mengingati Allah".

Janganlah kita lepaskan kesempatan qiamullail sementelahan kita bangun bersahur. Peruntukkan sekitar 10 ke 15 minit sekurang-kurangnya untuk solat tahajud dua rakaat sebelum bersahur. Lebih cantik lagi jika ibadat orang soleh ini dilakukan bersama isteri dan anak-anak.

Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah daripada dosa.

Balasan bagi mereka yang bertakwa ini dijelaskan menerusi ayat Allah; Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan di beberapa taman syurga dengan mata air-mata air terpancar padanya, keadaan mereka di sana sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang yang melakukan kebaikan. (az-Zaariyaat: 15-16).

Razak

Posts : 13
Join date : 2008-08-29

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum